Monday, December 21, 2009

~apabila malas menguasai diri...~


بسم الله الرحمن الرحيم

Sebut pasal malas, pasti semua orang faham apa maknanya. Ketika saya menulis post ini, sebenarnya diri ini sedang dilanda kemalasan untuk membuat assignment pathology yang perlu dihantar ESOK! Ya Allah, esok adalah dateline untuk hantar asssignment, tapi diri ini masih lagi ada perasaan malas untuk menyiapkannya! (tapi bukanlah tak buat langsung, sikit lagi yang belum siap). Ahli bait saya selalu berkata,"ada jin malas kot dalam rumah ni". Selama ini kita buat endah tak endah jer kalau malas, tapi sebenarnya malas ini boleh membawa kepada natijah yang sangat besar dalam kehidupan kita. Contoh yang mudah, kalau kita malas nak baca buku, maka kita tak akan faham dan ingat apa yang kita pelajari, dan apabila tak faham dan ingat apa yang kita belajar, of course konfem 100% kita tak dapat jawab soalan exam. Kalau tak boleh jawab exam, maka kita akan fail dalam pengajian...nauzubillah. Nak bergantung kepada "jawapan tembak" semata-mata, banyak mana sangat la tembakan kita tepat ke sasaran...fikir-fikirkan.


Ingat kembali apakah tujuan utama kita diciptakan, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t pencipta kita. Buktinya ada dalam ayat ke 56-58 dalam surah Adz-Dzariat yang bermaksud :

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali beribadah kepada-Ku, Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan pada-Ku, Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai kekuatan Lagi Maha Sangat Kuat"

Al-Imam Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini : “Bahawasanya Allah ta’ala menciptakan makhluk untuk beribadah hanya kepadaNya saja dan tidak ada sekutu bagiNya. Barangsiapa mentaatiNya maka Allah akan membalasnya dengan balasan yang sempurna. Dan barangsiapa yang derhaka (menentang) kepadaNya maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang sangat dahsyat. Dan Allah memberitakan bahawanya Dia tidak perlu kepada makhukNya bahkan merekalah yang perlu kepadaNya dan Dialah Yang menciptakan dan Yang memberi rezeki mereka.

Allah tidak akan rugi jika kita meninggalkan-Nya, tetapi kitalah yang akan mengalami kerugian yang besar jika kita meninggalkan Allah. Malah Allah mengutuskan para anbia' untuk menyeru kepada manusia agar taat kepada Allah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar di dunia supaya mendapat ganjaran yang Allah telah janjikan untuk kita di akhirat. Allah tidak memerlukan kita, kenapa kita perlu taat kepadaNya? Jawapannya senang sahaja, semua perintah dari Allah adalah satu nikmat agar kita menjadi terhormat, mulia, dan boleh kembali ke tempat asal mula kita iaitu syurga. 


Berbalik kepada topik utama kita iaitu "malas". Cuba kita sama-sama fikir, apabila kita malas melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, adakah kita pernah merasa bersalah kerana tidak melakukannya? Contohnya, kita menunda solat kerana kita malas atau lebih mementingkan urusan duniawi, adakah kita rasa bersalah dengan Allah? Ya, memang kita masih menunaikan solat, bukannya meninggalkan terus solat, tetapi perasankah kita bahawa kita lebih mementingkan urusan dunia yang sementara berbanding solat yang menjadi penghubung kita dengan Allah hingga ke akhirat? Bahkan, semasa solat pun kita masih memikirkan urusan duaniwi, terus lupa untuk mencari kekhusyukan dalam solat itu. Jika difikirkan, adakah solat yang dilakukan itu diterima Allah? Ini semua gara-gara "malas"!


Sungguh, kita telah diperdaya dengan rasa malas ini. Bahkan saat malas beribadah, otak kita pun dengan kreatif akan segera berputar untuk mencari dalih ataupun alasan yang dipandang logik dan rasional. Sehinggakan apa-apa yang kita lakukan kerana malas, seolah-olah ada kebenarannya kerana alasan kita yang logik dan rasional itu, bukan semata-mata kerana malas. Ah, betapa hawa nafsu begitu pintar mengaburi pandangan hati kita! Jadi, bagaimanakah cara kita mengatasi semua kecenderungan negatif diri kita ini?

Cara yang paling baik yang harus kita lakukan adalah kita harus gigih melawan kemalasan diri. Kecenderungan malas itu kalau mahu diikuti terus menerus tidak akan ada hujungnya, bahkan akan terus membelit kita menjadi seorang pemalas kelas berat, nauzubillah. Kita harus memaksa diri membuat ketaatan. Sebagai contoh, kalau ada perasaan malas untuk membuat assignment, fikirkan kembali kenapa kita kena buat assignment tersebut. Bukankah membuat assignment itu juga adalah belajar? Belajar pula adalah ibadah. Jika kita malas membuat assignment, bermaksud kita malas belajar, malas belajar bermaksud kita malas beribadah. Malas beribadah maksudnya kita tidak mahu taat kepada Allah. Jadi, dengan segera kita akan rasa bersalah dengan Allah, dan kita akan memaksa diri untuk menyiapkan assignment tersebut. Senang je kan?hehe.

Oleh itu, bila muncul rasa malas untuk beribadah, itu bererti hawa nafsu berupa malas sedang merasuk menguasai hati. Segeralah lawan dengan mengerahkan segenap kemampuan yang ada, dengan cara segera melakukan ibadah yang dimalaskan tersebut. Sekali lagi, bangun dan lawan! InsyaAllah itu akan lebih mendekatkan kita kepada ketaatan. Janganlah kerana kemalasan beribadah yang kita lakukan, menjadikan kita tergolong orang-orang munafik, naudzubillaah. Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa' ayat ke-42 yang bermaksud :

"sesungguhnya orang-orang munafik itu hendak menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) dihadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah, kecuali sedikit sekali.”

Ingatlah bahawa kalau kita tergoda oleh bisikan hawa nafsu berupa kemalasan dalam beribadah, maka kita ini sebenarnya sedang menyusahkan diri sendiri, kerana semua perintah itu adalah satu kurnia dari Allah buat kemaslahatan diri kita juga. Cuba fikirkan, jika Allah menyuruh kita berzikir, siapa yang dapat pahala? Kita. Jika Allah menyuruh kita berdoa, lalu doa itu dimakbulkan. Siapa yang beruntung? Kita. Allah sedikit pun tidak ada kepentingan manfaat atau mudharat terhadap apa-apa yang kita lakukan. Malah, kita yang mendapat kebaikannya jika kita tidak menyerah kepada godaan "malas" ini.


Maka, sahabat-sahabat sekalian, sederhanakanlah hidup kita, paksakan diri untuk taat kepada perintah Allah kalau belum boleh mengikhlaskan diri dan meringankan diri dalam beribadah. Mudah-mudahan Allah melihat kegigihan diri kita memaksa diri ini, dan diubah menjadi tidak terpaksa kerana Dia-lah yang Maha Menguasai diri ini. InsyaAllah...^_^ 

"Tika aku minta bantuan, Tuhan beriku peluang, kerana melaluinya aku mula mencuba. 

Tika aku minta kejayaan, aku diberi kegagalan, kerana melaluinya aku membaiki kesilapan.

Tika aku minta kekuatan, Tuhan berikan kesukaran, kerana melaluinya aku membina kekentalan diri.

Tika ku minta ketabahan, Tuhan beriku rintangan, kerana melaluinya aku teruji.

Betapa berharga segala yang ku alami, kerana Tuhan tak memberi apa yang ku minta

tapi aku menerima segala yang ku perlukan.

Itulah bahasa Yang Maha Esa..."


No comments:

Post a Comment