Tuesday, December 15, 2009

miss my "siblings"

بسم الله الرحمن الرحيم

When i look at this picture again, i really miss my "siblings". Kawan-kawan yang saya anggap sebagai adik-beradik saya sendiri. Memandangkan keluarga berada jauh di tanah air, hanya kawan-kawan yang jadi "tempat bermanja"...haha.

Teringat kembali kisah bagaimana kami boleh saling mengenali. 22 September 2007 di Rumah Kelantan Baru, menjadi titik permulaan ukhuwwah kami. Masing-masing baru tiba di Mesir untuk menyambung pengajian di sini. Terasa begitu asing berada di tempat orang. Di RKB inilah kami berkumpul dan mula tegur-menegur antara satu sama lain. Dan setelah beberapa lama tinggal di Kaherah sambil menunggu nama "muqayyad", waktu itulah ukhuwwah kami menjadi begitu rapat. Siapa sangka, dalam waktu yang sesingkat itu, kami boleh menjalinkan sebuah jalinan persahabatan yang begitu akrab sehingga kini...alhamdulillah.

Tempat pertemuan kami : RKB

Saya masih ingat lagi semasa kawan-kawan hendak "tauzik" ke Mansurah, semasa mengucapkan selamat jalan, secara automatik air mata mengalir membasahi pipi. Ya Allah, tuhan sahaja yang tahu betapa sedihnya hendak berpisah dengan seorang sahabat kerana ukhuwwah yang begitu erat antara kami. 

Sekarang, masing-masing sedang meneruskan perjuangan di medan ilmu. Ada yang belajar medik, pergigian dan pengajian Islam. Perbezaan bidang pengajian tidak langsung mempengaruhi persahabatan kami. Malah, kerana perbezaan itulah kami lebih memahami antara satu sama lain dan menyokong antara satu sama lain. 

Dek kerana jarak yang memisahkan kami, YM dan telefon menjadi alat perhubungan. Setiap kali kami cuti, Kaherah menjadi tempat keramat untuk kami berjumpa dan melepaskan rindu. Sebab itu setiap kali cuti, tidak sabar rasanya untuk pulang ke Kaherah yang kami anggap sebagai kampung kami (walaupun bandar sebenarnya...hehe). Dan sekali-sekala, kami akan berjanji untuk berkumpul di Mansurah mahupun Iskandariah. Jarak yang jauh tidak pernah melemahkan jalinan persahabatan kami, malah mengeratkan lagi ukhuwwah antara kami.

Kami akan rancangkan bermacam-macam aktiviti untuk menghabiskan masa bersama. Tapi waktu yang paling best ialah waktu makan beramai-ramai. Sapa yang kena masak memang kena masak banyak giler. Yela, sekali makan paling kurang 20 orang akan makan bersama. Memang riuh-rendah macam nak pecah syaqah 4 mahupun Rumah Samy yang menjadi tempat tinggal kami di Kaherah. Sampai ada ustaz yang tendang pintu syaqah suruh senyap sikit (nasib baik pintu tuh tak tercabut...haha). Lama-kelamaan, ustaz-ustaz pom dah tak larat dah nak larang kitorang. Mereka dah kenal dah muka-muka syaqah 4 dan Rumah Samy ni...haha.

Serius, ukhuwwah itu sangat indah. Apatah lagi jika ia dibina dengan niat kerana Allah Taala. Melalui ukhuwwah kita boleh dapat dan belajar banyak benda. Kita juga akan belajar untuk menerima kekurangan orang lain dan memperbaiki kelemahan kita. Ada seorang sahabat saya suka menyebut, "sahabat adalah cermin kepada diri kita". Memang betul, sahabat menjadi cermin untuk kita melihat apakah kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita. Sahabat juga boleh membantu kita untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik...^_^

Ingatlah, jangan jadi "seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing". Orang yang mementingkan diri-sendiri tidak akan mendapat kesenangan, lebih-lebih lagi ketika susah. Sesungguhnya manusia itu lemah, kita tidak akan mampu hidup sendiri. Kita memerlukan orang yang menyokong kita ketika susah dan senang. Sesungguhnya, mempunyai satu sahabat yang sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri-sendiri. Akhir kalam, saya akhiri posting ini dengan satu kata-kata hikmah, "Dalam masa kejayaan, teman mengenal kita. Dalam masa kesengsaraan, kita mengenal teman-teman kita"...^_^

"Apabila kita ingin berteman, janganlah kerana kelebihannya, 
kerana mungkin dengan satu kelemahan, kita mungkin akan menjauhinya.
Andai kita ingin berteman, janganlah kerana kebaikannya,
kerana mungkin dengan satu keburukan, kita akan membencinya.
Andai kita inginkan sahabat yang satu, janganlah kerana ilmunya,
kerana apabila dia buntu, kita mungkin akan memfitnahnya.
Andai kita inginkan seorang teman, janganlah kerana sifat cerianya,
kerana andai dia tidak pandai menceriakan, kita mungkin akan menyalahkannya.
Andai kita ingin bersahabat, terimalah dia seadanya,kerana dia seorang sahabat,
yang hanya manusia biasa. 
Jangan diharapkan sempurna, kerana kita juga tidak sempurna…."

No comments:

Post a Comment