Thursday, December 17, 2009

~selamat tahun baru 1431H~

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam...
pejam,celik...pejam,celik...rupanya satu lagi tahun dalam kalendar Hijrah dah berlalu. Kalau kita lihat pada realiti umat Islam masa kini, rasanya ramai yang lebih mengingati tahun baru Masihi berbanding tahun baru Hijrah, sedangkan di sebalik perkataan "Hijrah" itu tersembunyi makna yang sangat dalam.


Hijrah secara umumnya bererti perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, dan ini bermula dengan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Yathrib (Madinah) demi keselamatan umat Islam daripada kafir Quraisy di Mekah dan pada masa yang sama untuk menyebarkan Islam. Selepas peristiwa inilah bermulanya perkiraan tahun Islam Hijrah. Penghijrahan ini membawa satu sinar yang baru kepada kepada Islam dimana tertubuhnya kerajaan Islam pertama di Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW sendiri. Kerana hijrah ini jugalah Rasulullah SAW berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang bermusuhan sejak beratus tahun lamanya. Hijrah juga mengajar erti pengorbanan, sebagaimana besarnya pengorbanan kaum Ansar untuk kaum Muhajirin. Pelbagai kaum yang ada di Madinah hidup aman damai di bawah pimpinan Rasulullah. Inilah hikmah hijrah. Hijrah itu membawa kepada persaudaraan dan perpaduan. Teringat lirik lagu tema hijrah yang selalu berkumandang setiap kali tiba Awal Muharram :

Satu Muharram detik permulaan
Perkiraan tahun Islam Hijrah 
Perpindahan Nabi dan umat Islam
Dari kota Mekah ke kota Madinah

Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban harta dan nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta

Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan

Oleh itu mari semua
Kita sambut Maal Hijrah
Tingkatkan semangat 
Tegakkan syiar Islam
Untuk sepanjang zaman

Para ulama' mendefinisikan Hijrah dengan makna yang lebih dalam, iaitu perpindahan daripada keburukan kepada kebaikan (perkara-perkara yang kufur kepada perkara-perkara yang diredhai Allah).

Sekarang, tanya pada diri-sendiri, sudah hijrahkah aku? Sudahkah aku menjauhkan diri dari segala kekufuran? Sedangkan aku masih lagi menunda solat kerana lebih mementingkan kerja-kerja lain, TV, tidur dan sebagainya. Aku masih belum menjumpai khusyuk dalam solatku. Aku masih kurang bersedekah, masih punya perasaan su'udzon terhadap sang penerima sedekah, masih menghitungkan keuntungan dunia sedangkan rezeki itu sudah ditentukan Allah di Luh Mahfuz. Sebanyak mana aku membaca al-Quran berbanding membaca majalah, komik mahupun buku-buku lain? Puasa sunatku masih jarang dan harus selalu diingatkan dan selalu dimotivasi. Qiamullail apatah lagi. Bagaimana pula kewajipan aku terhadap ibu bapaku, keluargaku dan orang-orang di sekelilingku? Sebanyak manakah aku bersedia untuk berhadapan dengan Allah di akhirat kelak sedangkan bekalanku ke akhirat masih terlalu sedikit.

Sempena tahun baru yang tiba ini, marilah kita sama-sama menanam azam baru untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Saban tahun usia kita semakin bertambah, dan masa kita di dunia ini semakin suntuk. Jika difikirkan apakah kita sudah bersedia untuk melangkah ke akhirat, sudah pasti ramai yang akan berkata belum. Jadi, mulai sekarang marilah kita sama-sama menabur benih dan membajanya seterusnya kita kutip hasilnya di akhirat kelak untuk dipersembahkan kepada pencipta kita, Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah itu maha pemurah dan maha pengasih. Dia sentiasa membuka pintu taubat untuk hamba-Nya. Marilah kita sama-sama meningkatkan kualiti perhambaan kepada Allah.


Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "sesungguhnya sesuatu amalan itu bergantung kepada niat dan bagi setiap insan itu apa yang diniatkannya.". Betulkan niat kita, tetapkan arah dan destinasi, selarikan matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Mudah-mudahan dengan hasrat tersebut, Allah s.w.t akan melakarkan kepada kita suatu perjalanan yang sentiasa dirahmati dan diredhai-Nya. Akhir kalam, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1431H kepada semua yang mengenali diri ini....^_^

Sebutir air mata jatuh kerana keinsafan,
adalah seribu kali lebih baik dari sejuta mutiara di lautan.
Sesaat bersedih kerana redha Allah,
adalah lebih mulia dari seharian bersedih kerana cinta manusia.
Sejernih wajah kerana wudhuk yang sempurna,
adalah lebih bercahaya dari kilauan segunung permata.
Sesuci hati kerana cinta Ilahi, itulah hakikat cinta abadi…

No comments:

Post a Comment